Selasa, 21 November 2017 | 8:58pm
DEPUTI Superintendan Zainudin Ahmad.- Foto Iqmal Haqim Rosman

Polis nafi viral cubaan culik di kem tentera

PORT DICKSON: Polis menafikan kejadian cubaan culik kanak-kanak sekolah yang didakwa berlaku di sebuah kem tentera di Batu 5 di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad, berkata kejadian sebenar ialah seorang lelaki kurang siuman berusia dalam lingkungan 20-an cuba menaiki trak Feri Sekolah Angkatan Tentera yang membawa pelajar.

"Dia ditahan oleh orang awam dan anggota tentera sebelum dibawa ke balai polis. Ahli keluarganya datang membawanya pulang tidak lama kemudian," katanya di sini, hari ini.

Beberapa gambar kejadian berkenaan yang mendakwa itu adalah kejadian cubaan culik murid sekolah menjadi viral di Facebook hari ini, walaupun individu yang menyebarkannya turut menulis kesahihan kejadian itu belum dipastikan.

Sementara itu, Zainudin memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau tidak sahih kerana boleh menimbulkan ketakutan kepada masyarakat.

Beliau berkata, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan berita palsu.

Berita Harian X