Selasa, 21 November 2017 | 4:50pm
ZAHARUDIN (tengah) menunjukkan hasil rampasan pil ecstacy pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar. - Foto Adi Safri

Ecstasy bernilai lebih setengah juta ringgit dirampas

MUAR: Polis merampas 17,698 biji pil ecstasy yang dianggarkan bernilai RM530,940 selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Abdul Rahman di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan Abdul Rahman di sini kira-kira jam 2 pagi semalam.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam rumah terbabit kemudiannya menemui dadah jenis pil ecstasy yang diletakkkan di dalam sebuah beg.

Berikutan itu, kita turut menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga seorang penganggur bagi membantu siasatan.

"Ujian saringan air kencing kemudiannya mendapati suspek positif mengambil dadah jenis Methamphetamine. Semakan rekod pula mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di IPD Muar di sini, hari ini.

Zaharudin, berkata siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai bertindak sebagai orang tengah sebelum menghantar dadah berkenaan ke lokasi tertentu.

"Pihak polis juga masih melakukan siasatan lanjut mengenai kes ini termasuk lokasi dari mana dan ke mana dadah itu akan dihantar kelak. Kita tidak menolak kemungkinan rumah terbabit turut menjadi transit dadah berkenaaan.

"Suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 26 November ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.

Berita Harian X