Selasa, 21 November 2017 | 1:45pm

4 pengedar dadah diberkas di premis berasingan

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia dipercayai pengedar dadah diberkas dalam tiga serbuan berasingan, di sini, Sabtu lalu.

Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 29 tahun ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis pil eramin five, serbuk ketamine, estacy, ganja, syabu dan cecair dadah dalam botol minuman perisa 'Ice Lemon Tea'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon, berkata kesemua suspek dipercayai antara rangkaian pembekal dadah di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, dalam serbuan pertama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Dang Wangi, menahan seorang lelaki warga tempatan dan wanita warga Indonesia di kawasan kolam renang di sebuah kondominium di Jalan Cendana, Off Jalan Sultan Ismail, di sini.

"Polis menemui 200 biji pil eramin five dalam saku seluar sebelum pemeriksaan susulan dilakukan di kondominium di lokasi sama turut menemui dadah jenis syabu seberat 316 gram (g).

"Kedua-dua mereka dipercayai antara rangkaian pengedaran dadah di sekitar kawasan berkenaan dan ujian air kencingnya positif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua, polis menahan seorang lelaki di sebuah premis hiburan di Jalan Metro Pudu 2, Fraser Business Park, di sini, sekali gus membawa penemuan pelbagai jenis dadah.

"Lelaki itu dipercayai mengedar dadah jenis ketamine, pil eramin five, ganja dan estacy dan cecair minuman 'Ice Lemon Tea' kepada pengunjung pusat hiburan kawasan berkenaan," katanya.

Adnan berkata, serbuan ketiga oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Wangsa Maju, pula membawa kepada penangkapan seorang lelaki yang memiliki 10 paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan dadah syabu serta satu ketulan daun kering disyaki ganja seberat 13 kilogram.

Lelaki berkenaan ditahan dalam serbuan di kawasan kediaman PPR di Jalan Hiliran Ampang, di sini.

Kesemua mereka yang ditahan direman sehingga 24 November ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Berita Harian X