Jumaat, 17 November 2017 | 3:50pm

Pengurus `curi' duit untuk berjudi

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus kedai urut berlesen dihukum penjara 12 bulan, denda RM10,000 dan dua kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah membabitkan RM19,437, Oktober lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Hasbullah Adam selepas Chow Wen Kiat, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa kepadanya.

Terdahulu, Hasbullah memerintahkan Wen Kiat dipenjara berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum dan mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa sebagai pengurus syarikat yang diamanahkan wang berjumlah RM19,437 telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya menggunakan harta itu untuk tujuan peribadi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Fifty Five Studio Healthy Centre, No 2, Residensi Unggul Kepong, Jalan Vista Mutiara 1, Sentul, di antara 26 Oktober dan 30 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebatan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan dia kini tidak lagi bekerja dan perlu menyara ibunya.

Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum, bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat keji.

"Ini kerana perbuatan tertuduh melakukan pecah amanah ke atas harta syarikat mengakibatkan syarikat mengalami kerugian.

"Dalam siasatan polis juga mendapati, wang yang diambil itu telah digunakan tertuduh untuk berjudi," katanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu menghubungi tertuduh untuk bertanyakan mengenai wang kutipan hasil perniagaan bagi 30 Oktober, namun pengadu gagal menghubungi tertuduh.

Pengadu kemudian membuat semakan dan mendapati bahawa hasil jualan bagi ketiga-tiga kedai yang diselia tertuduh tidak dimasukkan bagi tarikh 26 Oktober hingga 30 Oktober lalu.

Juruwang di kedai itu mengesahkan hasil jualan berkenaan telah diserahkan kepada tertuduh.

Berita Harian X