Jumaat, 17 November 2017 | 3:38pm
PENUNGGANG basikal maut dirempuh SUV di Bintangor.

Penunggang basikal maut dirempuh SUV

BINTANGOR: Seorang remaja lelaki, maut akibat dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Ford ketika menunggang basikal bersendirian di Jalan Bintangor-Sarikei, di sini, malam tadi.

Jurucakap polis berkata, mangsa, Lau Chung Chai, 19, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik akibat cedera parah.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, pemandu SUV berusia 60 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan bergegas tampil membuat laporan di Balai Polis Meradong sejurus selepas kejadian berkenaan.

"Pemandu terbabit dipercayai dari arah Sibu menghala ke Sarikei dan mangsa juga dari arah sama.

"Pemandu merempuh basikal yang ditunggang mangsa, dipercayai berikutan keadaan jalan yang terlalu gelap.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, ketika kejadian mangsa juga tidak menggunakan sebarang lampu atau pemantul cahaya pada basikalnya," katanya.

Katanya, pemandu SUV itu tidak berhenti di tempat kejadian sebaliknya terus ke Balai Polis Meradong untuk membuat laporan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

11 dibaca
Berita Harian X