Khamis, 16 November 2017 | 4:32pm
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membawa barang kes selepas seorang wanita didakwa atas tuduhan menjalankan rawatan pemasangan pendakap gigi haram di  Lorong Galing pada september lalu di Mahkamah Sesyen, Komples Mahkamah Indera Mahkota. - Foto FARIZUL HAFIZ 
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membawa barang kes selepas seorang wanita didakwa atas tuduhan menjalankan rawatan pemasangan pendakap gigi haram di  Lorong Galing pada september lalu di Mahkamah Sesyen, Komples Mahkamah Indera Mahkota. - Foto FARIZUL HAFIZ 

Pekerja hotel tawar khidmat haram pasang pendakap gigi

KUANTAN: Seorang penyambut tetamu hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap tuduhan menjalankan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi secara haram.

Arnalin Ibrahim, 23, dari Tuaran, Sabah, didakwa menjalankan rawatan pemasangan pendakap gigi tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Dia dituduh mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di sebuah premis di nombor 13, Lorong Galing 46 Off Jalan Haji Ahmad di sini pada jam 12.20 tengah hari, 9 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 4 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut sub perenggan 5 (1) (a) (i) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan, Nurul Khairiyah Samsudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurul Khairiyah memohon ikat jamin RM40,000 kerana tertuduh tidak memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihaknya sebelum ini termasuk kerap berpindah rumah dan sering menukar nombor telefon bimbit sehingga sukar dihubungi.

Hakim, Datuk Unaizah Mohd menetapkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap hujung bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 30 November ini.

Sementara itu, Nurul Khairiyah ketika ditemui pemberita, berkata siasatan mendapati tertuduh menjalankan perkhidmatan itu sejak dua tahun lalu dengan mengenakan bayaran RM500 sehingga RM1,000 bagi seorang pesakit.

"Tertuduh antara individu aktif menawarkan perkhidmatan itu di Kuantan dan belajar menerusi internet serta seorang 'guru' yang sedang diburu kerana turut tidak mempunyai kelulusan untuk berbuat demikian.

"Beliau menggunakan media sosial untuk mempromosi perkhidmatannya dan sedang memberikan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi kepada seorang pelanggan ketika serbuan dilakukan pada 9 September lalu," katanya.

Katanya, wanita itu sepatutnya didakwa pada 13 Oktober lalu tetapi tidak hadir di mahkamah, menyebabkan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya selain sukar dihubungi kerana kerap berpindah serta menukar nombor telefon bimbit.

"Tertuduh ditahan di rumahnya di Taman Seri Inderapura, di sini, kira-kira jam 7 pagi tadi dan terus dibawa ke mahkamah untuk didakwa," katanya.

Berita Harian X