Khamis, 16 November 2017 | 3:09pm
JUMAAH Majlis Diraja Johor menafikan Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah Tunku Qadir adalah kerabat diraja Johor.

Bukan kerabat diraja Johor

JOHOR BAHRU: Jumaah Majlis Diraja Johor menafikan Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah Tunku Qadir yang dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 kerana menumbuk peninju negara adalah kerabat diraja Johor.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata merujuk kepada laporan beberapa media semalam, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya bahawa lelaki terbabit yang dituduh itu adalah kerabat diraja Johor.

Katanya, kuasa melantik, menjadi dan memasukkan seseorang sebagai kerabat diraja Johor adalah terletak kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

"Jumaah Majlis Diraja menekankan kenyataannya pada 22 September lalu bahawa hak dan kuasa melantik, menjadi dan memasukkan seseorang sebagai kerabat diraja Johor terletak kepada Sultan Johor sebagaimana termaktub di bawah Fasal 7(2) (e) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

"Jumaah Majlis Diraja mengesahkan tertuduh tidak pernah dilantik, dijadikan atau diiktiraf sebagai kerabat diraja Johor," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Berita Harian X