Rabu, 15 November 2017 | 1:41pm

Remaja trauma, rumah dimasuki tiga penyamun

IPOH: Seorang remaja trauma selepas tiga individu tidak dikenali menceroboh rumah keluarganya di Taman Arkid Mengelembu, di sini semalam, melarikan peti besi mengandungi wang tunai RM25,000 dan beberapa barang kemas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby, berkata ketika kejadian pengadu berusia 13 tahun berada dalam rumah seorang diri sebelum didatangi tiga suspek yang memasuki rumah dengan menghulur tangan untuk mengambil kunci yang berada di tepi pintu.

Katanya, seorang daripada suspek mengacukan sebilah parang ke leher mangsa dan memintanya mendiamkan diri.

"Dua suspek lagi menggeledah rumah sebelum melarikan peti besi mengandungi wang tunai berjumlah RM25,000 dan pelbagai barang kemas dalam tempoh 15 minit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Ali berkata, siasatan awal mendapati peti besi yang dilarikan adalah milik ibu mangsa berusia 34 tahun.

"Ketika kejadian, ibu mangsa bekerja di sebuah kilang di sini dan mengetahui kejadian itu selepas pulang ke rumah.

"Berikutan itu, mangsa dibawa oleh ibunya ke Balai Polis Mengelembu untuk membuat laporan polis.

"Keadaan mangsa ketika membuat laporan polis sedikit trauma," katanya.

Beliau berkata, susulan itu polis menahan seorang daripada suspek iaitu wanita berusia 19 tahun yang berperwatakan seperti lelaki di sebuah rumah di taman perumahan sama pada jam 9 malam.

Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan polis memburu dua lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata," katanya.

Berita Harian X