Isnin, 13 November 2017 | 4:00pm
DUA dari 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Mei lalu. - Foto Yazit Razali
DUA dari 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Mei lalu. - Foto Yazit Razali

Perbicaraan kes 19 penuntut UPNM digabungkan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk menggabungkan perbicaraan 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh, subahat bunuh dan mencederakan seorang penuntut lain pada Mei lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah dan Nur Akmal Farhan Aziz.

Azman berkata, perbicaraan secara bersama adalah lebih mudah kerana kejadian jenayah itu membabitkan tertuduh dan saksi sama malah Seksyen 330 dan 302 Kanun Keseksaan mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Sehubungan itu, Azman menetapkan 8 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan membolehkan tarikh perbicaraan panjang ditetapkan bermula Januari tahun depan.

Terdahulu, 19 tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, Mei lalu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu dengan tujuan memeras daripada mangsa bagi maksud mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Tertuduh ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail; Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain; Ahmad Shafwan Berdal; Muhammad Amirul Asraff Mala; Luqman Hakim Shamsuri; Muhammad Sufi Mohd Mustapha; Noriznan Izzairi Noor Azhar; Muhamad Ashraf Abdullah; Muhammad Danial Firdaus Azmir; Muhammad Hasif Ismail; Muhammad Akmal Akif Alias; Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Enam lagi turut dituduh adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Azamuddin Md Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05 Blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di bilik 04-10, asrama sama, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lalu.

Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Enam daripada 19 penuntut itu pula iaitu Muhammad Akmal Zuhairi; Muhammad Azamuddin; Muhammad Najib; Muhammad Afif Najmudin; Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem menghadapi tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan di tempat dan pada masa sama.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Datuk Hazizah Kassim, Mohd Fadly Hashim, Zambri Idrus, Joshua Tay, Nurul Syuhada Abdullah dan Datuk Hazman Ahmad bertindak sebagai peguam bagi semua tertuduh.

Pada Jumaat lalu, enam tertuduh yang didakwa membunuh dan bersubahat itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di mahkamah ketika sebutan semula kes.

Berita Harian X