Khamis, 9 November 2017 | 8:20pm
KOPERAL Fakri Mat Adam, 53, (gambar kecil) maut ketika pulang bertugas di Balai Polis Wakaf Bharu. - Foto Siti Rohana Idris

Anggota polis maut motosikal bergesel

TUMPAT: Seorang anggota polis yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja maut apabila motosikalnya bergesel dengan motosikal lain di Kilometer 6, Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor, petang tadi.

Koperal Fakri Mat Adam, 53, yang baru setahun bertugas di Balai Polis Wakaf Bharu maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dalam kemalangan jam 2.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Nik Azlan Nik Ibrahim, berkata Fakri dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Kampung Kedemit.

Katanya, motosikal mangsa bergesel dengan sebuah motosikal ditunggang pemuda berusia berusia 19 tahun yang dalam perjalanan ke arah Kota Bharu.

"Kedua-dua motosikal terbabit bergesel menyebabkan penunggangnya terjatuh le atas jalan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tumpat.

Jenazah mangsa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat manakala seorang lagi penumpang cedera ringan di kepala dan badan.

Pemuda itu dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Jenazah Fakri akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Krai.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X