Khamis, 9 November 2017 | 4:27pm
KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim menunjukkan barang yang dirampas pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di IPD Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Sindiket pintas cek, kad kredit tumpas

KUALA LUMPUR: Satu sindiket yang melakukan pintasan cek dan kad kredit membabitkan kerugian RM500,000 tumpas dengan penahanan lima anggotanya termasuk dalang utama dalam serbuan ke sebuah kondominium di Jalan Ampang di sini.

Semua suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu, termasuk seorang wanita, ditahan kira-kira jam 7 malam Sabtu lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields susulan intipan dan risikan yang dijalankan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata ketika serbuan, semua suspek sedang leka menjalankan aktiviti pintasan cek dan kad kredit di kondominium berkenaan yang dijadikan 'markas' operasi mereka.

"Polis turut merampas beberapa keping cek, borang permohonan buku cek, telefon bimbit, kad pengenalan disyaki palsu dan kad ATM.

"Selain itu, sebuah kotak kecil berwarna kuning dipercayai mengandungi peralatan untuk ubah suai cek dan cip kad pengenalan, slip deposit cek dan wang tunai RM155," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di IPD Cheras di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Cheras yang baharu, menggantikan Asisten Komisioner Chong Kok Sin.

Mazlan berkata, modus operandi sindiket itu amat licik, terlebih dulu mengambil kad kredit dan cek dari dalam peti surat di apartmen dan kondominium sekitar Lembah Klang.

"Suspek akan memeriksa setiap sampul surat terbabit. Jika ada cek atau kad kredit, mereka akan memalsukannya untuk tujuan pembelian barangan secara dalam talian.

"Jumlah cek paling tertinggi diubah suai sindiket ini adalah RM280,000 yang digunakan untuk membeli jam tangan mewah," katanya.

Katanya, siasatan mendapati sindiket itu mula aktif sejak Ogos lalu dan sehingga kini, terdapat sekurang-kurang 15 kes penipuan didalangi mereka dilaporkan di Kuala Lumpur sejak tahun lalu.

"Polis masih menysiasat untuk mengenal pasti pemilik cek serta mengesan lokasi kad kredit dan cek yang diubah suai itu digunakan termasuk di negeri lain," katanya.

Beliau berkata, tiga suspek direman sejak Ahad lalu sehingga esok untuk siasatan lanjut, manakala dua dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Mazlan berkata, semakan mendapati dalang utama sindiket berkenaan yang berusia 39 tahun dikenali sebagai Ah Chong, mempunyai tiga rekod dikehendaki kerana melarikan diri dari perintah sekatan mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) di Terengganu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar dengan niat menipu," katanya.

Berita Harian X