Selasa, 7 November 2017 | 4:26pm
SEBAHAGIAN kru sebuah bot tunda yang dihanyutkan sehingga ke perairan Thailand yang diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). pix Ihsan APMM

Bot hanyut diselamatkan APMM

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Utara menyelamatkan lima kru selepas bot tunda yang mereka naiki mengalami kerosakan enjin sebelum hanyut selama 32 jam sehingga memasuki perairan Thailand.

Dalam kejadian itu, bot tunda milik Syarikat Gimhwak Enterprise Sdn Bhd dan didaftarkan di Sibu, Sarawak, dilaporkan dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Sandakan, Sabah.

Semua kru terbabit ditemui selamat oleh anggota APMM pada jarak kira-kira 50 batu nautika di Barat perairan pulau ini, pada jam 9.50 malam tadi.

Pengarah Maritim Wilayah Utara APMM, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said, berkata sejurus menerima aduan daripada pemilik bot dikenali sebagai Lee Shih Kang, pihaknya segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan Kapal Peronda Maritim Malaysia (KM Marlin).

"Pengadu mengatakan bot tunda miliknya yang dinaiki lima kru yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Sandakan dikesan berubah haluan sebelum terputus hubungan.

"Sejurus itu, KM Marlin yang ketika itu sedang melakukan Operasi Khas Satria Utara di perairan Perak diarahkan melakukan SAR ke atas bot tunda itu sebelum berjaya menemuinya kira-kira 9.50 malam tadi," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Rozali berkata, pada peringkat awal pihaknya mengalami sedikit kesukaran melakukan SAR ekoran bot terbabit tidak dilengkapi alat untuk membuat isyarat kecemasan bagi memudahkan pasukan SAR mengesan kedudukan mereka.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama dan kebenaran daripada pihak berkuasa Thailand.

"Siasatan awal mendapati bot tunda itu mengalami kerosakan enjin dan hanyut dibawa arus. Semua awak-awak tidak mengalami sebarang kecederaan dan bot tunda terbabit ditunda ke jeti APMM di Bukit Malut di sini," katanya.

Berita Harian X