Isnin, 6 November 2017 | 12:09pm
ANGGOTA polis mengangkat mayat P Umageswari (gambar kecil), yang ditemui terbaring dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Regat Tasek Jaya Tiga, Taman Tasek Jaya. - Foto Muhaizan Yahya

Wanita OKU ditemui mati

IPOH : Seorang wanita kurang upaya (OKU) ditemui mati di dalam bilik sebuah rumah di Regat Tasek Jaya Tiga, Taman Tasek Jaya, di sini, malam tadi.

Mangsa, P Umageswari, 34, ditemui mati di rumah terbabit yang belum dikenal pasti pemiliknya.

Kakak mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Selvi, 35, berkata dipercayai adiknya diculik seorang lelaki di hadapan rumah keluarganya di Taman Kledang, Sungai Siput, kira-kira tiga hari lalu.

Katanya, adiknya berkelakuan kebudak-budakan sejak kecil dan gemar bermain anak patung meskipun usia sudah mencecah dewasa, selain menghidap penyakit kencing manis serta sakit jantung.

"Kali terakhir dia bertemu adiknya pada Jumaat lalu sebelum disyaki dibawa lari seorang lelaki tidak dikenali dengan menaiki motosikal di hadapan rumah mereka kira-kira jam 5 petang hari sama.

"Kami sangat risau selepas dia hilang tiba-tiba sebelum anak saudara saya memaklumkan adik dibawa seorang lelaki dengan menaiki motosikal di hadapan rumah.

"Seharian kami cari dia di merata tempat dan menelefon telefon bimbitnya, namun tidak dapat sebelum saya membuat laporan polis pada Sabtu lalu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam tadi.

Selvi berkata, bagaimanapun petang semalam telefonnya berbunyi dan mendengar suara mangsa.

"Saya bertanya lokasi dia berada namun dia sendiri tidak tahu malah tidak larat kerana sesak nafas termasuk untuk membuka pintu apabila saya minta dia menyelamatkan diri," katanya.

Selvi berkata, kehilangan adiknya terjawab selepas mayat mangsa ditemui mati di rumah berkenaan kira-kira jam 11 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby, ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

"Polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.

21 dibaca
Berita Harian X