Ahad, 5 November 2017 | 12:35pm

Kanak-kanak 7 tahun maut jatuh balkoni

AMPANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas terjatuh dari tingkat enam rumahnya di Kondo Bayu, dekat Pandan Jaya, di sini, petang semalam.

Kejadian jam 6.45 petang itu disedari orang awam yang kemudian menghubungi polis dan pemeriksaan oleh pasukan perubatan dari Hospital Ampang yang tiba di lokasi tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan, berkata mangsa meninggal dunia akibat parah pada kepala.

Katanya, ketika kejadian ibu bapa mangsa tiada di rumah kerana keluar bekerja dan kanak-kanak itu bersama kakaknya berusia 10 tahun dijaga oleh ibu saudara mereka yang berusia 29 tahun.

"Siasatan awal mendapati, mangsa sedang bermain dengan kakaknya di balkoni berhampiran ruang tamu. Mangsa kemudian dikatakan tiba-tiba memanjat pagar balkoni lalu terjatuh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X