Jumaat, 3 November 2017 | 7:14pm

Kanak-kanak setahun dipercayai dibunuh

HULU SELANGOR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala di rumahnya di pangsapuri Widuri, Bukit Beruntung, dekat sini, semalam.

Kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ditutupi dengan kain selimut, oleh ibu bapanya ketika pulang dari kerja.

Mangsa kemudian dibawa ke sebuah klinik pada jam 12.40 tengah malam dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh berikutan kecederaan teruk, namun disahkan sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami lebam dan koyakan di kepala.

"Kesan lebam disyaki akibat hentakan pada kepala dan bukan disebabkan jatuh dari buaian.

"Susulan itu, ibu bapa mangsa, berusia 21 tahun dan 29 tahun ditahan pada jam 3 petang hari sama bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, mangsa tinggal di rumah terbabit bersama ibu bapanya, seorang abang berusia dua tahun, datuk dan beberapa kanak-kanak lain.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

25 dibaca
Berita Harian X