Jumaat, 3 November 2017 | 6:19pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham daripada DAP, Cheong Chee King pada sidang media di Pusat Aduan ADUN Bercham di Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran

ADUN DAP nafi pukul wanita

bhnews@bh.com.my

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham daripada DAP, Cheong Chee King, menafikan beliau memukul dan mencuri wang dan barangan seorang wanita selepas mangsa membuat laporan polis pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, wanita itu menarik balik laporannya sehari kemudian.

Beliau mengaku bertemu wanita berkenaan tetapi menegaskan tidak melakukan perbuatan seperti didakwa.

Chee King juga mendakwa wanita itu bukan teman wanitanya tetapi kenalan biasa yang datang membuat aduan kepadanya sebagai seorang wakil rakyat biasa.

Katanya, dirinya sehingga kini belum dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian seperti didakwa.

"Setakat ini polis belum memanggil atau menghubungi saya untuk membantu siasatan berhubung perkara itu dan difahamkan wanita terbabit sudah menarik laporan pada 31 Oktober lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya isu berkenaan kepadanya pada sidang media di Pusat Aduan ADUN Bercham di sini, hari ini.

Chee King mendakwa, beliau tidak menolak kemungkinan dakwaan itu sebagai taktik individu atau kumpulan tertentu yang mahu menganiayai dirinya, terutama menjelang pilihan raya umum.

"Nama saya dikaitkan dengan kes ini dan saya minta polis siasat, saya percaya kepada profesionalisme polis. Saya juga tak takut kerana itu (dakwaan) semua tak betul, sebaliknya akan beri kerjasama kepada polis.

"Saya juga akan mengambil tindakan undang-undang melalui peguam terhadap pihak yang mengaitkan saya dengan dakwaan itu," katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby, dilaporkan berkata polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang wakil rakyat yang didakwa memukul teman wanitanya seperti yang tersiar di dalam sebuah blog baru-baru ini.

Beliau mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh ahli myPPP dan tiga badan bukan kerajaan (NGO) berhubung dakwaan itu di Balai Polis Sungai Senam pagi semalam.

Katanya, siasatan terhadap laporan yang dibuat ADUN dan wanita berkenaan akan diteruskan meskipun wanita terbabit sudah menarik balik laporan polisnya.

Berita Harian X