Khamis, 2 November 2017 | 3:57pm
KETUA Pemuda myPPP Perak, Mohamed Nor Fadhzil Sahul Hamid bersama wakil NGO menunjukkan laporan polis berhubung dakwaan wakil rakyat pukul teman wanita di Balai Polis Sungai Senam, pagi tadi. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Polis siasat dakwaan ADUN pukul teman wanita

IPOH: Polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang wakil rakyat pembangkang yang didakwa memukul teman wanitanya seperti yang tersiar di dalam sebuah blog pro-kerajaan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby, berkata pihaknya juga sudah menerima laporan polis yang dibuat myPPP berhubung dakwaan itu di Balai Polis Sungai Senam pagi tadi.

"Ya, kita ada menerima lima laporan dari ahli myPPP dan tiga badan bukan kerajaan (NGO) berhubung kejadian itu dan siasatan mengenainya akan diteruskan," katanya di sini hari ini.

Pagi tadi, Ketua Pemuda myPPP Perak, Mohamed Nor Fadhzil Sahul Hamid, ketika membuat laporan berkenaan dilaporkan berkata, blog berkenaan juga mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perak itu yang sudah berkahwin dan mempunyai anak, turut mencuri wang serta barangan peribadi teman wanitanya.

Mohd Ali berkata, polis juga akan meneruskan siasatan terhadap laporan yang dibuat ADUN berkenaan dan teman wanitanya meskipun wanita terbabit sudah menarik balik laporan polis.

Berita Harian X