Rabu, 1 November 2017 | 4:46pm
PEGAWAI perubatan memeriksa mayat Ahmad Rizwan Firdaus Ahmad Suhardi, 17 yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di jalan Pasir Panjang. - Foto Baharom Bakar

Remaja maut, motosikal bertembung kereta

KUALA TERENGGANU: Seorang penunggang motosikal maut selepas berlanggar dengan sebuah kereta dipandu seorang wanita,

di Jalan Pasir Panjang, di sini, tengah hari tadi

Mangsa, Ahmad Rizuan Firdaus Ahmad Suhardi, 17, dari Kampung Mengabang Tengah, Batu Burok, di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dalam kemalangan jam 12 tengah hari itu.

Kemalangan dilaporkan berlaku ketika mangsa yang datang dari arah lampu isyarat Gong Kapas ke simpang lampu isyarat Gelong Bilal, di sini, bertembung dengan kereta jenis Perodua Axia, yang secara tiba-tiba keluar dari simpang di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, siasatan awal dilakukan mendapati punca kemalangan berlaku disebabkan pemandu kereta terbabit gagal memberhentikan kenderaan ketika keluar dari simpang tiga.

"Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita Harian X