Rabu, 1 November 2017 | 12:09pm
ANGGOTA bomba mengeluarkan dua mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 10 Lebuhraya Gerik-Jeli - Foto ihsan Polis.
PEMANDU dan kelindan tersepit dalam kemalangan di Kilometer 10 Lebuhraya Gerik-Jeli, malam tadi - Foto Ihsan Polis.

2 maut nahas treler, lori

GERIK: Dua maut dalam kemalangan sebuah lori dan sebuah treler di Kilometer 10, Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Sungai Lebey di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, dua yang maut ialah pemandu lori membawa ayam, Sarizlan Yaakob, 43, dan kelindannya, Mohd Farid Malik, 27, kedua-duanya dari Kota Bharu, Kelantan.

Bagaimanapun, pemandu dan kelindan treler masing-masing berusia 26 dan 41 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila treler yang berhenti di Sungai Lebey itu tiba-tiba keluar ke jalan raya menghala ke Gerik.

"Pada masa sama, lori ayam dari arah Gerik yang tiba tidak sempat mengelak dan terus bertembung dengan treler yang sarat membawa papan lapis itu.

"Akibat kejadian itu, pemandu dan kelindan lori ayam tersepit dan maut di lokasi kejadian.

"Mayat kedua-dua mangsa dibedah siasat di Hospital Gerik jam 8 pagi tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ismail berkata, kejadian berlaku di jalan garisan berkembar dan gelap tetapi dalam cuaca baik.

Katanya, kejadian menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit remuk di bahagian hadapan.

Berita Harian X