Selasa, 31 Oktober 2017 | 6:57pm
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman (kanan) menunjukkan kenderaan suspek yang dirampas dalam kejadian bunuh, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar. - Foto Razik Zayad

Wanita ditemui mati diklasifikasikan sebagai kes bunuh

PAPAR: Polis mengklasifikasikan kes kematian seorang wanita yang ditemui berlumuran darah di tepi jalan di Kilometer 5 Jalan Papar Baru-Kota Kinabalu, pada Jumaat malam lalu, sebagai kejadian bunuh.

Dalam kejadian pada jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 20 tahun ditemui orang awam terbaring di tepi jalan dan dibawa ke Hospital Papar untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala di QEH1 pada jam 11 pagi keesokannya.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas polis melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

"Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa dan teman lelakinya yang memandu Toyota Hilux dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Papar.

"Mereka dipercayai bertengkar dan lelaki itu dipercayai dalam keadaan mabuk. Ketika tiba di lokasi kejadian berhampiran simpang ke rumah mangsa, wanita terbabit disyaki melompat keluar dari kenderaan yang sedang bergerak.

"Mangsa terbaring di tepi jalan dalam keadaan cedera parah sebelum dibawa oleh orang awam ke Hospital Papar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, Papar, hari ini.

Beliau berkata, suspek dikatakan meninggalkan mangsa dan memecut laju kenderaannya, namun saksi kejadian sempat mengambil nombor pendaftaran sebelum memaklumkan kepada polis.

"Susulan maklumat itu, suspek berusia 30-an yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta diberkas polis di Sipitang, pada 9.15 pagi Isnin.

"Suspek dipercayai mengenali mangsa dua bulan lalu melalui WeChat sebelum menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih dan berjumpa petang sebelum kejadian," katanya sambil menambah suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Ladamah berkata lima lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun dicekup polis selepas didapati terbabit dengan aktiviti jenayah samun berkumpulan dalam tangkapan di kawasan Kinarut, Papar, awal pagi ini.

"Semua suspek dipercayai terbabit kes samun pasangan suami isteri berhampiran premis membuat sofa di pekan Papar, 28 Oktober lalu.

"Dalam serbuan itu, polis menemui sebilah samurai, pisau dan beberapa telefon bimbit yang dipercayai hasil kegiatan jenayah kumpulan suspek sebelum ini," katanya sambil menambah semua suspek kini direman untuk membantu siasatan berkenaan.

Berita Harian X