Isnin, 30 Oktober 2017 | 6:46pm
ARSHAD (dua dari kanan) bersama anggota forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian penemuan tengkorak manusia oleh pesara tentera ketika melakukan kerja pembersihan kebun getah di Kampung Solok Komong, Simpang Bekoh, Jasin. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Tengkorak berlumut di bawah rimbunan ranting

JASIN: Seorang pesara tentera menemui tengkorak manusia ketika sedang membersihkan kebun getah miliknya di Kampung Solok Komong, Simpang Bekoh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Abu Bakar Abu Samah, 42, menemui tengkorak terbabit di bawah rimbunan ranting pokok ketika sedang membersihkan kebunnya yang sudah tidak diusahakan sejak lebih empat tahun lalu, sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata sejurus menerima laporan sepasukan anggota bersama unit forensik bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama.

"Siasatan dan pemeriksaan awal hanya menemui bahagian tengkorak saja, manakala tiada anggota lain ditemui. Kita difahamkan kebun ini tidak diusahakan antara empat hingga lima tahun.

"Melihat kepada keadaan tengkorak yang sudah berlumut hijau, polis tidak menolak ia sudah berada lama di kawasan itu.

"Kita masih menyiasat, termasuk merujuk kepada pihak patologi Hospital Jasin untuk mengetahui status jantina dan usia sebenar pemiliknya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, setakat ini polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut, selain turut meminta orang awam yang kehilangan saudara mara tampil ke balai polis berhampiran untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Berita Harian X