Ahad, 29 Oktober 2017 | 8:06pm
ANGGOTA bomba menemui mayat R Saravanan 33, selepas dihanyutkan kepala air ketika mandi bersama keluarganya di Sungai Pecah Batu, Trong, Taiping. Foto - Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menemui mayat R Saravanan 33, selepas dihanyutkan kepala air ketika mandi bersama keluarganya di Sungai Pecah Batu, Trong, Taiping. Foto - Ihsan Bomba

Lemas dihanyutkan kepala air

TAIPING: Seorang lelaki berusia 33 tahun lemas selepas dihanyutkan kepala air ketika mandi bersama ahli keluarganya di Sungai Pecah Batu, Trong, dekat sini petang tadi.

Mayat R Saravanan ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dipercayai dihanyutkan kepala air, pada jam 4.40 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.09 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba dimaklumkan mangsa yang sedang mandi bersama ahli keluarganya tidak sempat naik ke tebing ketika kepala air menghampiri kawasan itu kira-kira jam 3 petang.

"Mayat mangsa yang ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian, diserahkan kepada polis dan operasi ditamatkan jam 5.15 petang," katanya.

Hasna berkata, berdasarkan maklumat ahli keluarga mangsa, hujan lebat menyebabkan kepala air dari atas bukit turun dan menghanyutkan mangsa yang gagal naik ke tebing.

Katanya, berdasarkan maklumat ahli keluarga mangsa yang berasal dari Ayer Tawar dekat sini, mereka pertama kali datang berkelah ke situ.

Berita Harian X