Jumaat, 27 Oktober 2017 | 3:55pm
FAREZZUWAN MOHD, (dua dari kiri) dan Sulaiman Abdul Kadir, 37, (kanan) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan setiap seorang oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, apabila didapati bersalah atas pertuduhan menculik seorang kontraktor, enam tahun lalu.- Foto Muhammad Hatim Ab Manan

3 sahabat dipenjara seumur hidup

AYER KEROH: Tiga sahabat dihukum penjara seumur hidup dan 10 sebatan setiap seorang oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah menculik seorang kontraktor, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Zulkifli Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes prima facie bagi ketiga-tiga tertuduh, Kamaruzaman Mohamed Shah, 40, Sulaiman Abdul Kadir, 37, dan Farezzuwan Mohd, 29.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa menculik dan mengurung Tan Tiang See, 39, dengan niat menuntut wang tebusan RM500,000 di sebuah gudang kilang di Cheng, sebelum mengurung mangsa di sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam jam 6 petang, pada 14 Februari 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Colek 1961 (Akta 365) dan dibicara bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi, membabitkan 40 orang saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan sepanjang kes berjalan sejak 2011.

Terdahulu, Muhammad Syaiful memohon hukuman mati dikenakan kepada semua tertuduh dengan mengambil kira mangsa ditumbuk dan dikurung di dalam tandas, menyebabkan trauma, selain tertuduh menyamar sebagai tukang sapu sebelum menculik mangsa yang baharu keluar dari kilang tempatnya bekerja.

Ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguambela masing-masing, Chong Joo Tian, K A Ramu dan Mak Kah Keong merayu dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan alasan tidak melakukan kezaliman terhadap mangsa.

BH pada 23 Disember 2015 melaporkan, ketiga-tiga tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas iaitu dua anggota tentera S Murukesan, 29, dan Robin Anak Ajing, 37, dibebaskan atas kesalahan sama di mahkamah sama selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah pada kes prima facie.

Bagaimanapun, rayuan dikemukakan pihak pendakwaan ke Mahkamah Rayuan pada Januari 2016 berjaya mengenepikan pembebasan semua tertuduh dan mengarahkan mereka untuk membela diri.

81 dibaca
Berita Harian X