Rabu, 25 Oktober 2017 | 3:24pm
Kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) menemui empat tengkorak dan beberapa tulang manusia di dalam empat tempayan di kawasan bukit berhampiran Kampung Baru Nalla dekat Tronoh hari ini.
- Foto BERNAMA

Temui tengkorak, tiada unsur jenayah

BATU GAJAH: Pakar patologi mengesahkan tiada unsur jenayah berhubung penemuan empat tengkorak dan tulang manusia dalam tempayan di kawasan bukit berhampiran Kampung Baru Nalla, Tronoh dekat sini, semalam.

Kesemua tengkorak dan tulang itu ditemui pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada jam 12.26 tengah hari ketika menjalankan kerja di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar, berkata pihaknya menghantar rangka dan tulang manusia kepada pakar patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk dianalisa kemungkinan wujud unsur jenayah.


Kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) menemui empat tengkorak dan beberapa tulang manusia di dalam empat tempayan di kawasan bukit berhampiran Kampung Baru Nalla dekat Tronoh hari ini. - Foto BERNAMA

Katanya, empat tengkorak dan tulang ditemui disahkan sudah reput dipercayai meninggal dunia berpuluh tahun lalu.

"Keadaan tulang reput menyebabkan ia tidak dapat dianalisa secara tepat.

"Berdasarkan kesan tanah pada tulang itu, ia pernah tertanam dalam tanah dan kemungkinan dari kubur lama yang dikorek semula.

"Semua tulang ditemui tidak lengkap, empat rangka manusia dan ada beberapa bahagian tulang lebih daripada sepatutnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam BH melaporkan empat tengkorak dan tulang manusia ditemui dalam empat tempayan dan kawasan sekelilingnya di lokasi terbabit.

Mohd Nasri semalam dilaporkan berkata, siasatan awal di lokasi mendapati keempat-empat tempayan itu diletakkan di antara dua tiang elektrik di atas puncak bukit yang dikelilingi bekas ladang sawit.

Selain terdapat lombong lama hampir 17 tahun tidak beroperasi dan jirat Cina yang jaraknya kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi tempayan terbabit ditemui.

Berita Harian X