Selasa, 24 Oktober 2017 | 8:58pm
EMPAT rangka manusia ditemui di dalam empat tempayan oleh pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di kawasan bukit berdekatan Kampung Baru Nala, Tronoh. - Foto ihsan PDRM

Misteri 4 tengkorak, tulang manusia dalam tempayan

BATU GAJAH: Empat tengkorak dan tulang manusia ditemui dalam empat tempayan, sebahagian berselerak, di kawasan bukit berhampiran Kampung Baru Nalla, Tronoh, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar, berkata tempayan dan tengkorak berkenaan ditemui pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melakukan kerja di satu tiang elektrik di lokasi berkenaan jam 12.26 tengah hari tadi, sebelum memaklumkannya kepada polis.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi mendapati keempat-empat tempayan itu diletakkan di antara dua tiang elektrik di atas puncak bukit yang dikelilingi bekas ladang sawit selain terdapat lombong lama yang hampir 17 tahun tidak beroperasi dan jirat Cina yang jaraknya kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi tempayan terbabit ditemui.

"Pemeriksaan mendapati tulang yang berada dalam empat tempayan itu bercampur-campur selain terdapat empat tengkorak manakala beberapa tulang lain ditemui bertaburan di atas tanah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Nasri berkata, semua tengkorak dan tulang yang berada dalam empat tempayan itu tidak diusik kerana akan dirujuk kepada pakar patologi esok bagi mengenal pasti dari semua aspek termasuk menyiasat sama ada wujud unsur jenayah.

Katanya, orang awam di kampung berhampiran memaklumkan mereka tidak mendengar mana-mana aktiviti pemujaan malah tidak mengetahui sebarang kegiatan jenayah berlaku di kawasan berkenaan kerana lokasinya berada jauh daripada kawasan perkampungan itu.

"Penduduk kampung yang berketurunan Cina turut memaklumkan ada kemungkinan terdapat aktiviti pemindahan tulang nenek moyang atau saudara yang telah lama meninggal dan ditempatkan di tempat yang mempunyai 'feng shui' yang baik," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengklasifikasikan kes mengikut kertas enkuiri polis bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan dari pelbagai sudut untuk mengenal pasti sama ada kejadian itu bermotifkan jenayah.

Berita Harian X