Selasa, 24 Oktober 2017 | 8:24pm
ANAK Allahyarhamah Noriah Kasa, Zarul Haziq Zuryanidufizan, 12, menyiram air mawar ke pusara ibunya sambil di perhatikan oleh kakaknya Nornadia Zuryanidufizan,18, (lima, kiri) dan Norasyikin Zuryanidufizan, 20, (tiga, kiri) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Dungun hari ini.- Foto BERNAMA
NORASYIKIN , (tengah), Zarul Haziq, (kanan) dan Nornadia, di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Dungun,Bagan Serai. - Foto Abdullah Yusof

Suasana pilu iringi pengebumian jenazah Noriah

BAGAN SERAI: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sungai Dungun di sini ketika jenazah Noriah Kasa, 40, satu-satunya rakyat tempatan yang maut dalam kemalangan meragut lapan nyawa pekerja kilang di Pulau Pinang, dikebumikan petang tadi.

Linangan air mata terutama tiga anaknya, Zarul Haziq Zuryanidufizan, 12; Nornadia, 18, dan Norasyikin, 22, yang mengiringi pemergian ibu mereka menyebabkan lebih 100 orang terdiri daripada sanak saudara dan penduduk sekitar yang hadir turut hiba.

Terdahulu jenazah yang dibawa dengan van jenazah Hospital Seberang Jaya (HSJ) dari Seberang Perai, Pulau Pinang, tiba di kediaman keluarganya di Parit Sungai Dungun di sini pada jam 3.45 petang.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Jamek Sungai Dungun pada jam 5.50 petang, disolatkan kemudian dibawa ke kawasan perkuburan bersebelahan masjid itu dan selamat dikebumikan pada jam 6.30 petang.

Wakil syarikat kilang tempat Allahyarham bekerja turut berada di tanah perkuburan dan sebelum itu turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Norasyikin selaku anak sulung dalam keluarganya berikutan kejadian malang menimpa Allahyarham.

Sementara itu, Zarul Haziq yang ditemui selepas pengebumian ibunya tidak banyak bercakap kerana masih sebak dan terlalu sedih dengan kejadian itu, namun mengakui mahu menunaikan hasrat ibunya yang mahu dirinya yang juga anak bongsu menjadi seorang ustaz.

"Insya-Allah saya akan teruskan cita-cita ibu untuk melihat saya menjadi seorang ustaz," katanya.

Nornadia juga masih bersedih dengan kejadian itu dan meminta orang ramai tidak menyebarkan gambar nahas yang begitu menyayat hati.

"Mewakili pihak keluarga, saya meminta orang ramai atau pengguna laman sosial supaya menghentikan perbuatan viral gambar di lokasi kejadian kemalangan, tak kira sama ada gambar ibu saya atau mangsa lain," katanya.

Noriah yang juga seorang ibu tunggal maut susulan kemalangan membabitkan dua bas dan sebuah van membawa pekerja kilang di Kilometer 147, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran Plaza Tol Juru, jam 6 pagi tadi.

Tujuh lagi yang maut dalam kejadian sama adalah warga Indonesia. Kejadian itu turut menyebabkan berpuluh lagi cedera.

Berita Harian X