Selasa, 24 Oktober 2017 | 6:42pm
Dadah disyaki jenis syabu seberat 0.90 gram yang dijumpai pada pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah di Parit ketika ditahan polis. - Foto ihsan PDRM

Pelajar Tingkatan Dua miliki dadah ditahan

PARIT: Polis menahan pelajar lelaki berusia 14 tahun selepas menemui dadah jenis methamphetamine bersamanya di Taman Parit Jaya di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata pelajar Tingkatan Dua itu ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis ketika suspek cuba melarikan diri pada jam 1.15 tengah hari.

Beliau berkata, sebelum itu suspek dilihat duduk di atas motosikal di tepi jalan taman berkenaan dalam keadaan mencurigakan dan ketika anggota polis memperkenalkan diri, suspek melarikan diri.

"Anggota polis mengejar suspek dan kemudian berlaku pergelutan sebelum suspek ditahan.

"Hasil pemeriksaan pada tubuh suspek menemui dadah dipercayai jenis methamphetamine seberat 0.9 gram.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis itu sebelum soal siasat dijalankan mendapati suspek dipercayai memperoleh dadah berkenaan dari seorang lelaki bernama Ijam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai baru tiga bulan menagih dan menjalankan kerja sampingan sebagai buruh kontrak rumah dengan upah RM10 sehari.

Katanya, pihaknya menjalankan siasatan lanjut kes itu mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Berita Harian X