Selasa, 24 Oktober 2017 | 12:10pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang memeriksa keadaan dua buah bas yang remuk teruk selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 147 arah utara dari Batu Kawan Juru kira-kira jam 6 pagi tadi. Seramai 43 mangsa terlibat dan lapan wanita maut dalam kejadian tersebut. - Foto Amir Irsyad Omar

Dua pemandu bas kilang ditahan

BUKIT MERTAJAM: Dua pemandu bas kilang warga tempatan yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 147 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Plaza Tol Juru di sini, pagi tadi, ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata dua pemandu bas itu ditahan selepas kemalangan yang mengorbankan lapan pekerja itu.

"Penahanan juga dibuat bagi membolehkan ujian saringan air kencing dan sampel darah diambil untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, lapan penumpang maut manakala 33 lagi cedera dalam nahas membabitkan dua bas kilang dan van.

Nik Ros berkata, tujuh mangsa yang maut disahkan sebagai warga Indonesia, manakala seorang adalah warga tempatan.

Mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ), Hospital Bukit Mertajam (HBM), Hospital Sungai Bakap (HSB) dan Hospital Pulau Pinang (HPP).

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X