Selasa, 24 Oktober 2017 | 8:26am

Pemimpin PAS, bapa cedera dalam kebakaran

MIRI: Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jeraee, dan bapanya, Jaraee Marhaban, melecur ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Luak Bay, di sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1 pagi tadi sebelum dua jentera, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dan Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dihantar ke lokasi kejadian.

"Kita turut menggerakkan dua ambulans dan sebuah lori tangki sokongan ke lokasi bersama kekuatan 17 anggota.

"Sejurus tiba di lokasi, kita mendapati sebuah rumah dua tingkat berstruktur separuh kekal terbakar," katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

Katanya, api marak meranapkan 60 peratus struktur rumah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kebakaran dapat dikawal jam 1.52 pagi manakala operasi ditamatkan pada jam 3.40 pagi.

"Dua mangsa yang melecur diberikan rawatan awal oleh anggota paramedik sebelum dihantar ke Hospital Miri," katanya.

Ling Hii berkata, tujuh penghuni termasuk empat kanak-kanak berada di rumah ketika kejadian, namun sempat menyelamatkan diri dengan bantuan jiran.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X