Isnin, 23 Oktober 2017 | 7:06pm
MOHD Amirul Quodri lemas ketika cuba menyelamatkan perahunya di Sungai Darau, Pasir Akar, Besut. Foto - Ihsan PDRM

Lemas ketika selamatkan perahu

JERTIH: Seorang lelaki berusia 24 tahun lemas ketika cuba menyelamatkan perahu yang dinaikinya daripada hanyut ke tengah di Sungai Darau, Pasir Akar, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu mangsa, Mohd Amirul Quodri Mohd Razali, dari Kampung Raja Dagang Semerak, Pasir Putih, bersama dua rakan sedang memunggah kayu daripada perahu untuk dimasukkan ke dalam lori.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata bekalan kayu itu diambil mangsa dan rakannya dari seberang Sungai Darau.

"Ketika kerja memunggah kayu dilakukan, perahu dinaiki mangsa dihanyutkan air hingga ke tengah sungai. 

"Mangsa terus terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan perahu itu, namun gagal sebelum dia kemudian lemas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zamri berkata, dua rakan mangsa yang berada di lokasi sama cuba menyelamatkan mangsa tetapi tidak berjaya. 

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat," katanya.

Berita Harian X