Ahad, 22 Oktober 2017 | 5:39pm
KONSULAT Konsular Indonesia, Neni Kurniati (dua dari kanan) berbual bersama sebahagian ahli keluarga mangsa kejadian tanah runtuh di Jabatan Perubatan Forensik Pulau Pinang berkenaan pengurusan seorang mangsa yang akan dibawa pulang ke Indonesia. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

2 pekerja Indonesia maut ada permit

GEORGETOWN: Dua pekerja warga Indonesia yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai dekat Tanjung Bungah di sini semalam, mempunyai permit kerja yang sah.

Konsul Konsuler di Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia, Eni Kurniati, berkata pihaknya konsulat berhubung dengan majikan kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Erwin dan Hosrin bagi mendapatkan pampasan sepatutnya.

"Kedua-dua mangsa mempunyai permit sah untuk berkerja di Malaysia dan sepatutnya dilindungi insurans.

"Setakat ini majikan mereka memberikan kerjasama yang baik dengan pihak konsulat," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hopital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.

Eni berkata, konsulat akan membantu menguruskan kedua-dua jenazah warga Indonesia berkenaan.

Katanya, proses pengecaman sudah dilakukan oleh waris dan pihaknya cuma menunggu proses pelepasan daripada polis.

"Semua urusan di forensik sudah selesai termasuk pengecaman oleh ahli keluarga.

"Seorang mangsa akan dibawa balik ke Kuala Lumpur, manakala seorang dibawa balik ke Bangkalan Madura, Jawa Timur, Indonesia untuk disemadikan di kampung," katanya.

Proses pengurusan kedua-dua jenazah dijangka selesai petang ini sebelum waris dibenarkan menuntut bagi urusan pengebumian.

Berita Harian X