Ahad, 22 Oktober 2017 | 3:21pm

'Wajah adik tak berubah'

GEORGETOWN: Suasana pilu menyelubungi Unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP)  di sini, selepas beberapa waris mangsa tragedi tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah selesai membuat pengecaman jenazah ahli keluarga mereka, petang tadi,

Kakak pekerja binaan warga Indonesia yang terkorban, Muslifah Salis, 58, mengecam jenazah adik bongsunya, Erwin, 35, berdasarkan wajahnya yang langsung tidak berubah.

Muslifah dan adiknya kali terakhir bertemu kira-kira lapan bulan lalu, namun kerap berhubung melalui telefon.

"Mukanya tidak terjejas kerana itu saya yakin dia adik saya. Walaupun sedih, saya reda dengan pemergiannya.

"Kali terakhir dia menghubungi saya adalah dua minggu lalu dan kami banyak bergurau. Arwah ada menyebut tidak akan datang lagi ke rumah saya, kini saya sedar apa maksudnya itu," katanya yang gagal menahan sebak ketika ditemui.

Difahamkan, Erwin menetap di negara ini sejak enam tahun lalu dan bekerja sebagai pekerja kontrak di tapak pembinaan rumah mampu milik itu kira-kira enam bulan lalu.

Muslifah berkata, jenazah adiknya yang juga mayat kelima dikeluarkan pasukan penyelamat akan dibawa balik ke rumahnya di Kuala Lumpur petang ini bagi urusan pengebumian.

Setakat ini, dua keluarga sudah berada di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik HPP, bagi membuat pengecaman terhadap mayat mangsa yang terbabit.

MUSLIFAH Salis, yang juga kakak kepada pekerja warga asing Indonesia mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lembah Permai, Tanjung Bungah. - Foto Danial Saad
Berita Harian X