Sabtu, 21 Oktober 2017 | 7:01pm
JERIAH (gambar kecil) maut manakala suaminya, kritikal selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Dungun-Bukit Besi. - Foto Rosli Ilham

Isteri maut, suami parah kemalangan

DUNGUN: Seorang wanita maut, manakala suaminya dilaporkan kritikal selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 13, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Serdang, di sini, petang ini. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, Jeriah Yaakob, 68, meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun kira-kira jam 4 petang. 

Suaminya, Abdul Mubin Mohamed, 78, dilaporkan kritikal akibat kecederaan parah dan masih dirawat di Unit Kecemasan hospital sama. 

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta PERODUA Kancil dipandu Abdul Mubin dari arah Bukit Besi ke Dungun dipercayai membelok masuk ke simpang tiga di tempat kejadian. 

Dalam masa sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis TOYOTA Hilux yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak, sebelum merempuh kereta mangsa, menyebabkan kereta PERODUA Kancil itu terbalik. 

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Pegawai Bomba Kanan II, Othman Sembok berkata, sepasukan lima anggota bergegas ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. 

Katanya, setibanya di tempat kejadian penumpang wanita sudah tercampak keluar daripada kenderaan dan pihaknya mengambil masa lima minit bagi mengeluarkan suami mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Sementara itu anak mangsa, Zurami Abdul Mubin, 46, tidak menyangka rasa tidak sedap hati dan gelisah selepas bersalam dengan ibu bapanya yang mahu pulang ke kampung rupanya petanda kejadian malang menimpa orang tuanya.

"Hanya 15 minit selepas mereka bertolak pulang ke kampung di Jerantut, Pahang, saya menerima panggilan kejadian dan bergegas ke hospital sebelum dimaklumkan ibu sudah meninggal dunia.

"Sudah tertulis ajal mereka. Saya sudah rayu supaya mereka pulang ke kampung esok sahaja, namun mereka bertegas untuk pulang hari ini juga," katanya.

54 dibaca
Berita Harian X