Khamis, 19 Oktober 2017 | 9:06pm
SEORANG pekerja syarikat penghantaran makanan cedera di mata kanan selepas mendakwa ditumbuk pemandu pikap di Bandar Utama, dekat Damansara.

Penghantar makanan cedera dipukul samseng jalanan

PETALING JAYA: Seorang pekerja syarikat penghantaran makanan, cedera di mata kanan selepas ditumbuk pemandu pacuan empat roda dalam kejadian di Bandar Utama dekat Damansara di sini, pada Selasa lalu.

Mangsa berusia 27 tahun, mendakwa dia menunggang motosikal melalui Jalan Tengkat kira-kira jam 6.30 petang dan ketika itu berlaku kemalangan menyebabkan jalan sesak.

Pemandu sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux, kemudian dikatakan tiba-tiba membunyikan hon kepadanya, sebelum seorang lelaki turun dari kenderaan terbabit terus memaki hamun mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata selepas memaki mangsa, pemandu Hilux terbabit didakwa menendang motosikal ditunggang mangsa, sebelum menumbuk pemuda terbabit beberapa kali di bahagian muka.

"Kejadian dileraikan anggota polis yang ada di tempat kejadian.

"Suspek (pemandu Hilux) kemudian beredar dari situ. Kejadian mengakibatkan pengadu (mangsa) luka dan bengkak di bawah mata sebelah kanan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, kejadian turut disaksikan orang awam yang berada di lokasi dan hasil temu bual dengan saksi itu memaklumkan melihat pemandu Hilux berkenaan ada menendang motosikal mangsa dan menumbuknya beberapa kali di kepala.

Katanya, pemeriksaan polis di lokasi kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Kejadian berkenaan turut menjadi tular selepas rakaman video berdurasi 59 saat itu di muat naik di media sosial.

Berita Harian X