Khamis, 19 Oktober 2017 | 7:16pm
NOORAIN Md Noor (kanan) ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP), Georgetown, petang tadi. - Foto Amir Irsyad Omar

TERKINI: Mayat remaja lemas, ditemui terdampar di pantai

GEORGETOWN: "Saya cuma menjerit minta tolong. Saya nampak tangan anak di tengah laut."

Noorain Md Noor, 48, tergamam melihat anaknya, Muhamad Firdaus Abdul Gani, 18, dan Muhamad Naim, 15, terkapai-kapai di tengah laut selepas dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Miami di Batu Ferringi di sini, petang tadi.

Katanya, dua beradik itu mandi bersama sebelum air pasang secara tiba-tiba dan menghanyutkan mereka ke tengah laut.

"Saya nampak mereka terkapai-kapai di tengah laut. Mujurlah orang ramai yang berada di situ sempat menarik tangan Muhamad Naim tapi abangnya (Firdaus) ditarik ombak," katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, petang tadi.

Difahamkan, Muhamad Firdaus yang bekerja di kilang dan anak sulung daripada empat beradik, mengambil cuti semata-mata untuk berkelah bersama keluarganya di Pantai Miami.

Noorain berkata, dua anaknya itu bersungguh-sungguh mengajak bapa mereka berkelah walaupun tidak dipersetujui berikutan rumah mereka sedang dibaik pulih.

Muhamad Naim kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhamad Firdaus masih diteruskan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta polis marin.

Hasil pencarian yang dijalankan, mayat Muhamad Firdaus ditemui terdampar di pesisiran pantai berdekatan kawasan keluarganya berkelah, pada jam 7.53 malam tadi.

Jurucakap bomba berkata, sejurus operasi SAR di laut ditamatkan pada jam 7 malam, pihaknya meneruskan pencarian di kawasan tepi pantai.

"Mayat mangsa ditemui terdampar di tepi pantai, dipercayai akibat daripada pukulan ombak. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HPP untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian," katanya.

Berita Harian X