Khamis, 19 Oktober 2017 | 2:09pm

Maut tertembak diri sendiri

KINABATANGAN: Seorang lelaki warga Indonesia maut tertembak diri sendiri dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Koyah, Kampung Paris 3, di sini, semalam.

Mayat mangsa yang berkerja sebagai penjaga ladang yang bertugas pada waktu malam di ladang berkenaan ditemui oleh anaknya kira-kira pukul 7 pagi di kawasan ladang.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supritendan A Sahak Rahmat, berkata mangsa ditemui terbaring bersebelahan sebuah motosikal dalam keadaan berdarah berlumuran darah.

"Anak mangsa juga mendapati senjata api buatan sendiri milik mangsa berada berhampirannya dengan kesan tembakan di bahagian leher bawah dagu sebelah kiri, disyaki tertembak dari bawah.

"Polis turut menemui kesan melecur pada bahagian pergelangan tangan kiri mangsa selain enam butir peluru senapang patah disisip pada bahagian tali pinggang sebelah kanan mangsa.

"Pemeriksaan terhadap senjata api juga mendapati masih ada sebutir kelongsong peluru di dalamnya," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk mengesahkan kecederaan dan kematian sebelum dibawa ke Hospital Dutchess Of Kent, Sandakan untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 39(c) Akta Senjata 1960.

Berita Harian X