Isnin, 16 Oktober 2017 | 10:13pm
Pemandangan dari atas Gunung Berembun. - Foto Nazdy Harun

Pendaki cedera terjatuh di Gunung Berembun

DUNGUN: Seorang pendaki cedera selepas terjatuh di kawasan puncak Gunung Berembun, dekat Pasir Raja, di sini, hari ini.

Syed Md Farid Farahan Syed Nasser, 24, yang berasal dari Taman Pinggiran, Batu Caves, Selangor dilaporkan bersama sekumpulan rakannya mendaki gunung terbabit sejak kelmarin. 

Sebelum itu, mangsa dilaporkan tidak sihat dan beberapa rakan dikatakan cuba membawanya turun dari kawasan pergunungan itu untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, difahamkan, ketika dalam perjalanan itu, mangsa dikatakan terjatuh menyebabkan kakinya cedera dan bengkak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Jaswari Awang ketika dihubungi berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian oleh seorang malim gunung kira-kira jam 1.20 tengah hari.

"Sebaik menerima laporan seramai 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian, selain itu kami turut mendapat bantuan daripada Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 16 orang malim gunung.

"Kira-kira jam 6.30 petang tadi, kami menerima laporan mangsa berada dalam keadaan stabil. Usaha membawanya turun masih lagi dijalankan sehingga jam 8.30 malam tadi," katanya.

Jaswari berkata, perjalanan membawa turun mangsa mungkin akan memakan masa berikutan keadaan gelap serta laluan sukar perlu ditempuh pasukan penyelamat.

Berita Harian X