Sabtu, 14 Oktober 2017 | 9:47pm

Murid maut motosikal ditunggang nahas

KANGAR: Seorang murid Tahun Enam maut, manakala rakannya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit kemalangan di Jalan Sungai Padang di sini, petang tadi.

Dalam kemalangan jam 3.05 petang itu, Muhammad Iqmal Danial Ahmad Tamezi, 12, maut di lokasi kejadian, selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah PERODUA Viva.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Zaini Talib, berkata siasatan awal mendapati kereta yang dipandu wanita berusia 41 tahun dalam perjalanan dari arah Sungai Padang menghala ke Simpang Ampat.

"Ketika sampai di persimpangan Sungai Padang, secara tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa keluar dari Jalan Sungai Baru masuk ke laluan digunakan wanita terbabit.

"Oleh kerana jarak yang terlalu dekat, wanita berkenaan tidak sempat membrek, menyebabkan keretanya merempuh motosikal yang ditunggang mangsa," katanya ketika dihubungi.

Zaini berkata, akibat rempuhan itu, Muhammad Iqmal maut di lokasi kejadian, manakala rakan sebayanya yang membonceng, Muhammad Zarif Aiman Zulkepli, cedera parah di bahagian kepala.

"Mayat Muhammad Iqmal dibawa ke unit forensik untuk dibedah siasat, manakala rakannya kini masih berada dalam unit rawatan rapi (ICU).

"Siasatan masih dijalankan dan kes setakat ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata kesan pelanggaran itu juga menyebabkan kedua-dua jenis kenderaan rosak teruk.

"Motosikal mangsa remuk di bahagian hadapan dan kanan. Malah kereta terbabit juga turut mengalami kerosakan yang teruk di bahagian hadapan dan belakang di sebelah kiri," katanya.

Berita Harian X