Sabtu, 14 Oktober 2017 | 12:55pm

Mayat lelaki dikelar, ditetak ditemui dalam sungai

TASEK GELUGOR: Seorang lelaki warga tempatan ditemui mati dibunuh dan mayatnya dibuang di dalam lembah berhampiran Sungai Jarak dekat Kampung Paya Tok Akil di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pemangku Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mayat lengkap berpakaian itu ditemui orang awam kira-kira jam 7.30 pagi, sebelum menghubungi polis.

"Siasatan awal mendapati, ada kesan kelar pada bahagian depan dan belakang leher, selain kesan tetakan di kaki mayat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu.

"Kita percaya mangsa dibunuh di tempat lain, sebelum mayatnya dibuang di sini. Ia berdasarkan kesan tompokan darah yang hanya terdapat pada badan mangsa," katanya di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, pihaknya gagal menemui sebarang senjata di lokasi terbabit, selain mayat mangsa di bawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi proses bedah siasat.

"Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau saudara lelaki berusia lingkungan 30 ke 40-an diminta tampil untuk membuat pengecaman mayat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

ANGGOTA polis mengusung mayat seorang lelaki selepas dijumpai orang ramai awal pagi tadi di kawasan semak berhampiran tebing sungai di Kampung Paya Tok Akil, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar
ANGGOTA forensik memeriksa mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan berumur 30-an di kawasan semak berhampiran tebing sungai di Kampung Paya Tok Akil, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar
Berita Harian X