Jumaat, 13 Oktober 2017 | 1:32pm
MAYAT Anis Shahtirah Saad, 12, ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kampung Ulu Melaka, Langkawi hari ini. - Foto Ihsan Bomba

Mayat ketiga di rumpun buluh

LANGKAWI: Mayat ketiga mangsa tragedi 'kepala air' di air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang di sini, ditemui di kawasan rumpun buluh berhampiran sebuah restoran di Kampung Ulu Melaka, hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk kes ini yang juga Pegawai 'On Call' Zon 4 JBPM Kedah, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Syukri Ahmad Husaini, berkata mayat Anis Shahtirah Saad, 12, ditemui pada jam 11.46 pagi tadi oleh orang awam.

"Mangsa ditemui di kawasan rumpun buluh berhampiran sebuah restoran kira-kira lima kilometer (km) dari lokasi kejadian.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Terdahulu, mayat Qistina Puteri Wira, 11, ditemui penduduk kampung tersangkut pada tebing sungai kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian pada jam 5.30 petang semalam, manakala mayat Nor Aiman Wahidah Mohd Rosli, 11, ditemui pada jam 12.40 tengah malam tadi.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam, empat kanak-kanak dikhuatiri lemas akibat dihanyut arus deras yang membadai secara tiba-tiba.

Tiga daripada mangsa sudah ditemui manakala Siti Aishah Kassim, lima tahun, dari Bukit Malut dilaporkan masih hilang.

Mohd Syukri berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada 7 pagi ini dengan satu pasukan bomba membuat pencarian di permukaan sungai di Kampung Bukit Kemboja, di sini.

"SAR yang memasuki hari kedua turut membabitkan penyertaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.

74 dibaca
Berita Harian X