Selasa, 10 Oktober 2017 | 8:34pm
ANGGOTA bomba melakukan persiapan sebelum memasuki kawasan kilang memproses ais yang mengalami kebocoran gas ammonia di Bundusan, Penampang. petang tadi. - Foto Mohd Adam Arinin

Pekerja kilang pengsan gas ammonia bocor

PENAMPANG: Seorang pekerja kilang memproses ais, pengsan akibat terhidu gas ammonia dalam kejadian dekat Bundusan di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.40 petang itu, lelaki terbabit dipercayai terhidu gas beracun berkenaan susulan kebocoran pada sebuah tong berisi gas terbabit.

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital oleh orang awam bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.43 petang sebelum tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

"Seramai 20 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Penampang serta Kota Kinabalu bergegas ke kilang ais batu itu bagi operasi menyelamat dan pembersihan.

"Setibanya di lokasi, komander operasi melakukan pengosongan kawasan sejauh 300 meter sementara menunggu bantuan daripada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT).

"Setakat ini (setakat jam 8 malam tadi), operasi pembersihan masih dijalankan dan kita menasihatkan orang awam menjauhi kawasan ini bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kebocoran gas di kilang terbabit masih dalam siasatan.

21 dibaca
Berita Harian X