Ahad, 8 Oktober 2017 | 12:20am
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya , Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din.- Foto Osman Adnan

Balah keluarga, maut ditikam

PETALING JAYA: Seorang lelaki mati dipercayai ditikam dengan senjata tajam di kawasan perumahan dekat Seksyen 8 Kota Damansara, di sini, petang tadi.

R Ananth, 32, ditemui oleh seorang ahli keluarganya tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di bawah blok rumah sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian ketika menerima rawatan.

"Mangsa disahkan mati akibat tikaman senjata tajam di badan.

"Kita kini sedang mengesan anak saudara mangsa berusia lingkungan 30-an, dipercayai terbabit dengan kes ini yang melarikan diri sejurus kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Dipercayai, motif kejadian adalah disebabkan masalah keluarga.

Bagaimanapun, Mohd Zani berkata punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X