Khamis, 5 Oktober 2017 | 11:22am

Pekerja warga Nepal maut dirempuh kereta

BUKIT MERTAJAM: Seorang pekerja kilang warga Nepal maut dirempuh kereta ketika berbasikal dalam kemalangan di Jalan Estate Juru, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan jam 10.35 malam itu, mangsa, Til Bahadur, 43 maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata kemalangan itu dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang basikal mahu melintas untuk menghala ke Juru sebelum tiba-tiba dirempuh kereta yang dipandu lelaki berusia 31 tahun.

"Mangsa dilanggar kereta berkenaan dan menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala serta badan lalu meninggal dunia.

"Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat," katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di laluan kecemasan di Kilometer 146.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Simpang Ampat.

Kejadian jam 11.45 malam itu berlaku apabila mangsa, Yeoh Chin Lee, 54, yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dekat Sungai Bakap melanggar belakang sebuah lori yang berhenti akibat masalah brek.

Nik Ros Azhan, berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

23 dibaca
Berita Harian X