Ahad, 1 Oktober 2017 | 9:33am
KEBAKARAN memusnahkan empat kediaman di Kampung Seberang Kedai, Limbang malam tadi. - Foto ihsan Bomba

4 cedera kebakaran di Kampung Seberang Kedai

LIMBANG: Empat kediaman penduduk Kampung Seberang Kedai di sini terbakar malam tadi menyebabkan empat penghuni cedera.

Dalam kebakaran jam 7.50 malam, dua cedera ketika menyelamatkan barang berharga dari rumah, manakala dua lagi sesak nafas akibat terhidu asap tebal.

Bagaimanapun, semua mangsa stabil dan diberikan rawatan pesakit luar di Hospital Limbang.

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Limbang, Awang Ibrahin Amit yang mengetuai operasi memadam kebakaran itu berkata, seramai 24 anggota terbabit dalam operasi memadam kebakaran.

"Tiga daripada kediaman itu musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi hangus separuh," katanya hari ini.

Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya daripada merebak ke rumah lain jam 9.11 malam.

Turut berada di tempat kejadian ialah Ahli Dewan Undangan Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail dan Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah.

Berita Harian X