Jumaat, 29 September 2017 | 3:30pm
MAYAT mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat.
KEADAAN kereta jenis Proton Wira yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler berhampiran Balai Polis Paloh, Jalan Gua Musang-Kuala Krai awal pagi tadi. Maklumat awal dipercayai empat beranak iaitu pasangan suami isteri berserta dua anak mereka maut dalam kemalangan tersebut. - Foto Ihsan Pembaca.

Bayi usia 2 minggu antara 4 maut

Gua Musang: Bayi berusia 13 hari antara empat maut dalam bahas membabitkan sebuah kereta dan treler di Kilometer 52 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini hari ini.

Selain bayi berkenaan, Zayyan Nazreel Zainuddin, yang turut terkorban dalam nahas kira-kira jam 7.15 pagi itu ialah bapanya, Zainuddin Anuar, 30; ibu, Raizuamira Daud, 31, serta kakaknya yang belum dikenal pasti identiti.

Kereta PROTON Wira dipandu Zainuddin remuk selepas bertembung treler muatan beras yang terbabas ke laluan bertentangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Abdullah Daud, berkata keluarga berkenaan yang beralamat di Selangor dalam perjalanan dari Gua Musang menghala Kuala Krai.

"Treler terbabit dari arah Kuala Krai menuju ke Gua Musang dipercayai terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung kereta dinaiki empat beranak terbabit.

"Tiga mangsa tersepit dalam kereta yang remuk. Pasukan bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mereka," katanya.

Abdullah berkata, pemandu treler yang juga belum dikenal pasti identitinya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. Polis masih menjalankan siasatan kes ini termasuk mendapatkan keterangan pemandu treler," katanya.

30 dibaca
Berita Harian X