Jumaat, 29 September 2017 | 11:00am
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai bagi memberi keterangan berhubung isu penyelewengan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di Putrajaya. - Foto NSTP/Abd Rahim Rahmat

Richard hadir di SPRM dipercayai beri keterangan PTPK

PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini jam 10.03 pagi tadi, dipercayai bagi memberi keterangan berhubung isu penyelewengan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Semalam, Setiausaha Politik beliau direman enam hari bagi membantu siasatan penyelewengan dana kerajaan RM40 juta untuk PTPK.

Sebelum ini, pada 14 September lalu, empat individu termasuk Ketua Eksekutif PTPK bergelar Datuk dibebaskan dengan jaminan selepas ditahan.

Kesemua mereka yang ditahan dipercayai menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng wang peruntukan program latihan kemahiran bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

Siasatan awal SPRM mendapati pada tahun 2016, salah seorang suspek disyaki menyeleweng sebanyak RM15 juta manakala RM25 juta pula pada tahun ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RM40 juta.

Sumber SPRM berkata, kerajaan memperuntukkan RM40 juta untuk tahun ini kepada perbadanan itu bagi mengendalikan program latihan manakala pada tahun 2016, sejumlah RM35 juta diperuntukkan.

12 dibaca
Berita Harian X