Rabu, 27 September 2017 | 1:39pm

Cucu bekas pengarang kumpulan BH meninggal

SHAH ALAM: Budak lima tahun yang juga cucu bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Rejal Arbee, mati selepas terjatuh dari tingkat enam sebuah apartmen di U11, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata dalam kejadian jam 12.10 tengah malam, mangsa dipercayai tinggal bersendirian bersama adiknya yang berusia tiga tahun.

"Siasatan awal mendapati bapa mangsa meninggalkan mangsa dan adiknya yang sedang tidur untuk menemui rakannya yang berada di tingkat bawah pangsapuri berkenaan beberapa urusan.

"Pintu rumah dikunci dari luar dan mangsa dipercayai memanjat tandas duduk dan mahu keluar mengikut tingkap tandas lalu terjatuh," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam (HSA) dan disahkan meninggal dunia pada jam 1.30 pagi.

Isteri Rejal, Datin Noraini Shariff, turut memuatnaik mesej di Facebook mengenai kematian cucunya.

Berita Harian X