Selasa, 26 September 2017 | 6:26pm
KEADAAN kereta dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan berhampiran tol Jambatan Pulau Pinang, Butterworth, tengah hari tadi. - Foto Ramdzan Masiam

Lelaki maut tunggang lawan arus

BUTTERWORTH: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya secara melawan arus dirempuh kereta berhampiran tol Jambatan Pulau Pinang, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kemalangan di Kilometer 0.9 kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Ng Kong Cheong, 53, dari Taman Chai Leng, Perai, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Abd Hamid, berkata kemalangan itu berlaku apabila pemandu kereta berusia 39 tahun gagal mengelak motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan.

"Akibatnya, pemandu kereta melanggar motosikal mangsa dari arah depan menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera parah.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat dan keluarganya sudah dimaklumkan mengenai kejadian," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, pihaknya masih menyiasat punca mangsa menunggang melawan arus dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X