Selasa, 26 September 2017 | 12:12am
SEORANG lelaki terbunuh selepas terjatuh dari tingkat tiga tempat letak kenderaan Perhentian Bas Terminal One di sini, petang tadi. - Foto Adzlan Sidek

Maut jatuh bangunan parkir

SEREMBAN: Seorang lelaki terbunuh selepas terjatuh dari tingkat tiga tempat letak kenderaan Perhentian Bas Terminal One di sini, petang tadi.

Difahamkan, dalam kejadian jam 3.20 petang itu, lelaki berusia 54 tahun terbabit mulanya datang bersama anaknya ke perhentian bas berkenaan dengan menaiki sebuah kereta untuk bertemu rakannya.

Mangsa kemudian meminta diturunkan di tingkat tiga bangunan tempat letak kenderaan itu, sementara anaknya mencari ruang untuk meletak kereta mereka.

Jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai terjatuh tidak lama kemudian dan ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tingkat bawah bangunan berkenaan.

Seorang pemandu bas, Jasri Arshad, 51, yang sedang minum di gerai berhampiran ketika kejadian berlaku, berkata dia terdengar bunyi seperti benda terjatuh yang disangkakan sampah.

"Saya terkejut apabila mendapati 'benda' itu bukan sampah, sebaliknya manusia yang terbaring dan tidak sedarkan diri, sebelum menghubungi talian kecemasan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini untuk bedah siasat dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Berita Harian X