Isnin, 25 September 2017 | 11:03pm
MANGSA, Ahmad Lukman Hakim Osman ditemui lemas oleh penduduk kampung selepas mandi di Sungai Pasir Tumboh, Kota Bharu, petang tadi. - Foto ihsan pembaca

Keseronokan mandi sungai bertukar tragedi buat tiga remaja

KOTA BHARU: Kegembiraan tiga remaja mandi sungai, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas ketika berenang di Sungai Pasir Tumboh di sini, petang tadi.

Mayat mangsa, Ahmad Lukman Hakim Osman, ditemui oleh penduduk kampung yang menjalankan gerakan mencari pada jam 6.49 petang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Che Ismadi Mohamad Taib, berkata mayat mangsa ditemui pada jarak tiga meter dari lokasi dia lemas.

Katanya, mangsa yang pertama kali mandi di sungai berkenaan lemas pada jam 5.45 petang kerana air di kawasan terbabit terlalu dalam.

"Rakan mangsa bersama penduduk cuba mencari sebelum menghubungi bantuan bomba pada jam 6.33 petang.

"Sebaik menerima panggilan, lapan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Skuba Bomba bergegas ke lokasi kejadian

"Ketika sampai, mangsa sudah ditemui penduduk kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat," katanya ketika dihubungi di sini.

Che Ismadi berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk tindakan lanjut.

18 dibaca
Berita Harian X